Senin, 27 Oktober 2014

Kasih Ibu Membawa Ke Syurga

Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak berarti, lagi dilupakan”. [Surah Maryam: 23].
Selepas itu ibu menyusukannya pula dengan penuh kasih sayang, membesarkannya, mendodoikan tidurnya, menyikatkan rambutnya, memandikannya, membancuh minuman kesukaan anaknya, membasuh kasut dan baju anaknya, memakaikannya dengan pakaian, mendidiknya, memujuknya, bermain dengannya, menyapu air matanya, mendukungnya ke mana sahaja tempat dituju dan sebagainya. Pendek kata, keseluruhan hidup insan akan sentiasa melibatkan ibunya. Tidak pernah putus belas kasih, sayang dan sumbangan ibu kepada anaknya sejak sebelum lahir sehingga mencecah usia insan itu pada hari ini.

ibu
Darjat ibu sangat tinggi. ALLAH subhanahu wata’ala selalu berfirman di dalam al-Quran tentang kepentingan menghormati ibu dan bapa. Antaranya:
“Sembahlah ALLAH, janganlah kamu mempersekutukanNYA dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu dan bapa kamu.” [ Surah an-Nisa: 36].
“Katakanlah: Marilah kubacakan apa yang diharamkan TUHANmu terhadapmu, iaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu denganNYA dan berbuat baiklah terhadap kedua ibu dan bapa.” [Surah an-An’am: 151].
Tuntutan menghormati ibu dan bapa sangat penting sehingga ia sering disebutkan di dalam al-Quran secara bergandingan dengan ketaatan kepada TUHAN. Taat ALLAH, berbuat baik kepada ibu bapa. Iaitu, ia perkara yang paling penting selepas taat kepada ALLAH.
Kita dilarang menderhakai ibubapa. Penderhakaan kepada ibubapa akan mengundang kemurkaan ALLAH subhanahu wata’ala. Malah menderhakai ibubapa merupakan dosa besar yang memerlukan kita untuk bertaubat nasuha. Justeru, kita wajib patuh kepada mereka walaupun jika mereka bukan beragama ISLAM. Walaupun begitu, kita dilarang untuk mengikuti telunjuk ibu dan bapa kita sekiranya apa yang disuruh oleh ibubapa bercanggah dengan hukum syara’. Hal ini ada diriwayatkan dari hadith Nabi sallALLAHu ‘alaihi wasallam oleh Imam Ahmad yang maksudnya:
“Tidak ada ketaatan kepada makhluq dalam perkara maksiat kepada ALLAH AZZA wa JALLA”.
Mari kita merujuk kepada beberapa pesan Nabi sallALLAHU ‘alaihi wasallam tentang kepentingan menghormati ibu dan bapa supaya dapat kita menginsafi diri dan seterusnya berazam untuk menjadikan diri kita seorang hamba ALLAH yang bertaqwa dan anak yang soleh.
Abu Hurairah r.a berkata:“Seorang pemuda berjumpa dengan Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam dan berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang lebih berhak mendapat layanan dan kasih sayangku? Nabi s.a.w berkata: Ibumu. Kemudian siapa pula? Nabi s.a.w berkata: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa pula? Nabi menjawab: Ibumu. Bertanya lagi beliau: Kemudian siapa? Nabi s.a.w berkata: Bapamu.” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim].
Abdullah bin Amr bin al-’As r.a berkata yang maksudnya: “Seorang pemuda berjumpa Rasulullah s.a.w dan meminta kebenaran baginda untuk menyertai jihad. Rasulullah s.a.w berkata: Adakah kedua ibubapa kamu masih hidup? Dia menjawab: Ya. Baginda berkata: Jadi jihad kamu adalah bersama mereka.” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim].
Ibnu Mas’ud r.a berkata yang maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam, apakah amalan yang paling disukai ALLAH? Baginda s.a.w menjawab: Solat pada waktunya. Dan berkata aku: Selepas itu? Baginda menjawab: Kemudian memuliakan ibubapa. Dan aku berkata: Selepas itu? Baginda berkata lagi: Jihad di jalan ALLAH.” [Hadith riwayat al-Bukhari].
Daripada nas di atas, jelas bahawa menghormati ibu dan bapa sangat penting. Bahkan menjaga kedua ibu bapa adalah lebih diutamakan dari keluar menyertai jihad. Dalam sejarah Nabi sallALLAHU ‘alaihi wasallam, pernah Baginda s.a.w mengiktiraf seorang pemuda sebagai ‘penduduk langit’ hanya disebabkan oleh ketekunan pemuda tersebut menjaga ibunya yang sedang uzur. Walhal pemuda tersebut sangat ingin bertemu Nabi s.a.w. Pemuda tersebut memeluk ISLAM hanya melalui penduduk Yaman yang pernah berjumpa Rasulullah s.a.w. Beliau tidak pernah berjumpa Nabi s.a.w. Tapi hasrat beliau tersebut terpaksa diketepikan lantaran menjaga ibunya. Hatta, Nabi s.a.w pernah menyarankan para sahabat Baginda s.a.w mendoakan mereka dan memohon keampunan untuk mereka sekiranya dapat berjumpa dengan pemuda tersebut. Pemuda tersebut adalah Uwais al-Qarni.
Di dalam hadith atas juga dapat kita simpulkan bahawa keutamaan ibu lebih tinggi berbanding bapa untuk kita berikan perhatian. Ini kerana pengorbanan ibu dan bapa sama-sama besar, tetapi ibu lebih besar dari segi pengorbanannya keran ibulah yang mengandung dan menyusukan kita dalam tempoh yang panjang.

sumber : http://www.iluvislam.com/keluarga/9764-kasih-ibu-membawa-ke-syurga.html